Selasa, 23 Oktober 2012

MUQADDIMAH PENYUSUN 3K PENGURUSAN & PENYELENGGARAANJANAZAH ( 'AMAL JAMA'EI )


      Segala puji bagi ALLAH SWT yang mentadbir sekelian ‘alam semesta yang fana ini. Selawat dan salam kesejahteraan ke atas junjungan besar Rasuulullah SAW yang membawa rahmat bagi sekelian ‘alam dan ke atas keluarga baginda yang tercinta serta ke atas para sahabat assabiqun awwalin seterusnya ke atas para syuhada’ assolehin  dan para tabi’in sehingga yaumil qiyamah.

     Bersyukur saya al - faqir ilallah ke hazerat ALLAH SWT yang memberi taufiq dan hidayah bagi meyusun semula risalah ini yang telah dibentangkan di dalam Kursus Pengurusan & Penyelenggaraan Janazah anjuran Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Sungai Petani, Kedah Darul Aman pada 31hb. Ogos, 1995 berpandukan dengan tunjuk ajar dari tuan guru yang mursyid serta pengalaman sejak tahun 1973M. Saya namakan risalah ini “ 3K PENGURUSAN & PENYELENGGARAAN JANAZAH
 ( ‘AMAL JAMA’EI ). ”

     Pengurusan janazah zaman multi media super coridor raya dan globalisasi  serta alaf baru mutaakhir ini berorentasikan kebendaan ( madiyah ). Saya petik kata-kata aluan yang diucapkan oleh Assohibus Samahah Dato’ Haji Hassan  bin Haji Ahmad Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang “ kini wujud fenomena penswastaan dan pengkopratan dalam pengurusan dan penyelenggaraan janazah dalam institusi masyarakat Islam mutaakhir ini ” dalam siri Kursus Pengurusan & Penyelenggaraan Janazah anjuran bersama Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Ahli Parlimen Tasek Gelugur  Y.B. Dato’ Haji Mohd. Sharif bin Haji Omar merangkap Timbalan Menteri Pertanian Malaysia pada 26hb. April, 2000M di Masjid Jam’ek Pokok Machang, Tasek Gelugur, Seberang Prai Utara. Indikator ini menunjukkan konsep fardzu kifayah yang disyari’atkan kepada junjungan besar Rasuulullah SAW sudah terbabas dari landasan syari’at Islam yang sebenarnya. Sehubungan itu saya terpanggil dan bertanggungjawab untuk memikul beban yang amat berat ini dan menghadapi mehnah dan fitnah dalam menghadapi kemelut masyarakat alaf  baru di zaman globalisasi. Umat Islam kini perlu dipimpin dan dibimbing  semula untuk kembali ke pangkal syariat Islam dan sunnah Rasuulullah SAW  yang luhur  lagi murni itu.

     Risalah ini akan memberi pendedahan betapa pentingnya kita melaksanakan tuntutan fardzu kifayah secara ‘amal jama’ei. Semua lapisan institusi masyarakat hendaklah faham bahawa adalah menjadi tanggungjawab waris mayyit mengurus dan menyelenggarakan janazah keluarga mereka sendiri berdasarkan keutamaan dan tidak timbul soal melangkah kepala orang tua-tua.  Pada umumnya ahli waris mayyit tidak megetahui tentang pengurusan janazah. Sehubungan dengan itu pihak pengurusan tempatan “ USM ” mengambil kesempatan menguruskan janazah waris berkenaan dengan biaya yang tinggi dan membebankan serta tidak menghiraukan sama sekali ke atas anak-anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati.

     Terdapat pakage pengurusan “ USM ” berbagai kelas iaitu Kelas A = 1,000 orang bersembahyang yang bernilai RM 9,005.00, Kelas B = 100 orang bersembahyang bernilai RM 4,505.00 dan Kelas C = 40 orang bersembahyang bernilai RM 2,500.00. Kos solat janazahlah yang memakan belanja yang terlalu tinggi. Sementara itu mayyit dari kalangan al-fuqara’ walmasakin hanya didatangi oleh beberapa orang sahaja untuk menyembahyang janazah kerana tidak dapat menyediakan perbelanjaan sepertimana yang dikehendaki oleh mereka yang berkenaan. Purata upah sembahyang masa kini dikenakan bayaran minima sebanyak RM 5.00 seorang dan kos pengangkutan sebanyak RM 30.00 sebuah kereta.  Maka besesak-sesaklah “ di pintu kastam masjid ”orang keluar melaluinya mengambil habuan upah masing-masing. Hanya beberapa orang sahaja yang keluar melalui pintu lillah mengelakkan diri dari kesesakan yang melemaskan. Kedapatan setengah dari gulungan  manusia pula apabila membuka sampul surat biru didapatinya kosong dan orang yang berkenaan mengherdik serta menengking terhadap pihak pengurusan di khalayak orang ramai  dalam keadaan mukanya merah padam “ sampul surat kosoooong !!!! dan lain kali jangan buat kerja dah macam niiii !!!! Penipuuuu !!!! ” Ada setengah di kalangan ahli waris yang tidak berada terpaksa berhutang berbaris bagi menguruskan mayyit keluarganya semata-mata kerana tekanan dari pihak pengurusan yang berkenaan. Di Masjidil Haram Makkatal Mukarramah dan Masjidin Nabawi Asysyarif Madinatul Munauwarah puluhan janazah disembahyangkan tetapi ratusan pintunya tidak ditutup dan tidak ada siapa yang menghulurkan sampul surat biru untuk orang-orang yang menyembahyangkan janazah. Mengapa orang-orang yang berkenaan tidak mengambil pengajaran atau ‘itibar untuk dibawa balik ‘amalan ini untuk di’amalkan di tanah air yang tercinta ini sekembali dari menunaikan  haji dan ‘umrah serta menziarahi maqam junjungan besar Rasuulullahi SAW. Belanja pengurusan dan penyelenggaraan yang “ standard ” telahpun ditetapkan oleh pihak Baitul Mal Jabatan Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman ialah sebanyak RM 850.00 sahaja di dalam suasana negara dilanda kegawatan ekonomi. Oleh itu saya berseru kepada semua pihak umumnya dan khususnya ahli waris marilah kita sama-sama mendalami dan mempelajari ilmu pengurusan dan penyelenggaraan janazah ini bagi menghindarkan gejala pengurusan yang tidak berperi kemanusiaan. Ingatlah amaran ALLAH SWT yang berbunyi: " وَتَأْ كُلُونَ ٱلتُّرَاثَ أَكْلاً لَّمًّا " yang bermaksud  “ dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan ( yang halal dan yang bathil ).”

      Demikianlah secara sepintas lalu saya paparkan dan dedahkan untuk pengetahuan umum tentang pengurusan dan penyelenggaran janazah secara ‘amal jama’ei. Saya mengalu-alukan komentar yang membina terutama sekali dari para AL - ‘ulamak Waristul - ambiyak dan semua lapisan institusi masyarakat dan para pembaca serta para peserta kursus yang dihormati sekelian bagi faedah kepentingan umum umat Islam keseluruhannya dan manfa’at untuk kita bersama khususnya.

        وباٱلله توفيق وٱلهدية، وٱلسلام عليكم ورحمة ٱلله وباركاته!

Salam hormat dari penyusun al – faqir ilallah,

……………………………………………………….
( SYEIKH MOHAMAD HUSSAIN BIN ISMAIL ALBUNGKUSI )
               Pengurus Perkhidmatan Pengurusan  Janazah
                DAERAH KULIM, KEDAH DARUL AMAN










Tanggal: Wednesday, October 24, 2012M